Make your own free website on Tripod.com

SEJARAH SEKOLAH

Sekolah Kebangsaan Bukit Raya Tahun 1930

        4 Januari 1999 bermulalah detik persekolahan di Sekolah Kebangsaan Bukit Raya. Dengan bilangan murid seramai  lebih kurang 250 orang dan 19 orang guru sesi pembelajaran pun bermula. Bangunan indah 2 blok 3 tingkat diwarnai oleh gelagat murid-murid dan suara guru-guru mendidik anak bangsa.
        Sebenarnya satu ketika dahulu pernah wujud sebuah sekolah yang tersergam di tapak yang sama. Mengikut serjarah yang diperolehi dari warga tua tempatan, "Malay School ( Sekolah Melayu Bukit Raya)" telah dibuka sekitar tahun 1925 dan guru besarnya ialah Cikgu Daud. Pada tahun 1927 pula sekolah ini telah diketuai oleh Cikgu Mohamad Ali dan dibantu oleh Cikgu Mohd Yassin. Pada masa itu juga dua orang guru pelatih iaitu Cikgu Ahmad b. Siddi dan Cikgu Ahmad b. Salimin turut mengajar di sini.
        Pada tahun 1930, sekolah ini telah ditadbir oleh guru besar yang baru iaitu Cikgu Mohd Nor b. Jamlus. Pada tahun 1932 satu peristiwa tidak boleh dilupakan oleh penduduk tempatan apabila Sekolah Melayu Bukit Raya telah menjadi Johan Pertandingan Bola Sepak peringkat Negeri Selangor.
        Cikgu Mohdmad Yassin telah dilantik menjadi guru besar Sekolah Melayu Bukit Raya pada tahun 1933 dengan dibantu oleh Cikgu Nordin b. Baddu, Cikgu Roslan dan Cikgu Sidek. Cikgu Md. Rasul b. Singeri pula telah menjadi guru pelatih disekolah ini pada tahun 1934. Pada tahun 1935 Cikgu Md. Sidek telah dilantik menjadi guru besar menggantikan Cikgu Mohd Yassin dengan dibantu seramai 7 orang guru. Mereka ialah Cikgu Nordin, Cikgu Roslan, Cikgu Sidek, Cikgu Sayyed Harun dan Cikgu Fatimah. Cikgu Zainal Abidin b. Fakeh telah dilantik sebagai guru pelatih pada tahun yang sama.
        Pada tahun 1938 Sekolah Melayu Bukit Raya telah mendapat seorang guru besar yang baru iaitu Cikgu Sulaiman dan penolongnya Cikgu Sapri yang telah mengajar sekolah ini sejak tahun 1935 lagi. Tenaga pengajar bertambah lagi dengan kehadiran Cikgu Hasmah dan Cikgu Nasar.
        Perang Dunia  Kedua telah menggegarkan Bumi Melaya dan kawasan Bukit Raya tidak terkecuali. Pada tahun 1941 sebuah kapal terbang British telah jatuh betul-betul di hadapan Sekolah Melayu Bukit Raya ini dan Disember tahun yang sama menyaksikan sekolah yang bersejarah ini telah ditutup untuk sekian lamanya sehinggalah Januari 1999. Sejarah membuktikan Sekolah Melayu Bukit Raya ini tidak ketinggalan melahirkan seorang Tokoh Pemimpin Negara iaitu Srikandi Negara yang cukup dikenali Yang Berbahagia Tan Sri Dato' Dr Aisah bt Ghani.
        Tarikh 4 Januari 1999 menyaksikan Sekolah Kebangsaan Bukit Raya di tadbir oleh Encik Mohamad Jafar b. Ibrahim sebagai Guru Besar, Encik Mohd Rasul b. Mat Yazid Guru Penolong Kanan Kurikulum, Encik Mohd Arif b. Yahaya Guru Penolong Kanan HEM, Encik Halidon Samsuri Guru Penolong Kanan Kokurikulum dengan dibantu seramai 15 orang guru dan 2 orang kakitangan sokongan yang menjadi penggerak Sekolah Kebangsaan Bukit Raya.
        Demikianlah sejarah sekolah ini. Segala maklumat ini diperolehi daripada Tuan Haji Zainal Abidin b. Fakeh, bekas murid dan guru sekolah ini dan daripada Tuan Haji Baharuddin b. Rahmat Ketua Kampung dan bekas murid sekolah ini.
[ALBUM]